Saturday, May 10, 2008

Solat

Pandangan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani Tentang Solat

PANDANGAN SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI TENTANG SOLAT ZAHIR DAN BATIN.

Solat difardhukan kepada setiap orang Islam yang waras akal dan cukup umur pada waktu-waktu yang khusus, lima kali sehari semalam. Inilah perintah Allah s.w.t.

Firman Allah:

“Peliharalah segala solatmu dan solat wusto. Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk.” (al-Baqarah:238).

Solat zahir ini ialah berdiri, membaca al-fatihah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan seterusnya dan sebagainya. Pergerakan dan lakuan solat ini melibatkan anggota-anggota badan. Inilah solat diri jasmani atau diri fizikal. Oleh kerana pergerakan atau lakuan badan dalam solat ini banyak dan diulang-ulangi banyak kali dalam solat lima waktu itu, maka itulah sebabnya ayat tadi menyebut solawati (segala solat) iaitu disebut plural atai lebih dari satu. Bukan solat tetapi solawaati (solat-solat). Itulah bahagian pertama tentang solat dalam ayat tersebut.

Bahagian kedua pula dalam ayat tersebut ialah tentang solat wusto. Solat ini bermaksud solat hati. Wusto itu boleh dimaksudkan sebagai pertengahan atau tengah. Maka oleh kerana hati itu terletak di tengah diri, maka itulah dikatakan solat wusto itu sebagai solat hati. Tujuan solat ini ialah untuk mendapatkan hati yang damai dan tenteram.
Hati itu terletak di tengah antara kiri dan kanan, antara depan dan belakang, antara atas dan bawah dan antara baik dan jahat. Hati itu titik tengah, point perimbangan, point neraca atau median. Pernah Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Hati anak Adam itu antara dua jari al-Rahman (iaitu Allah). Ia dibolak-balikkan kemana sahaja yang Allah kehendaki.”

Maksud dua jari al-Rahman itu ialah sifat Allah yang bernama ‘Yang Menghukum dan Mengazab’ dan sifat yang bernama ‘Yang Indah Yang Kasih Sayang, Yang Lemah Lembut’.

Solat dan ibadat yang sebenar ialah solat dan ibadat hati. Kalau hati lalai dan tidak khusyuk atau tidak konsentrasi dalam solat, maka solat zahir iaitu solat badaniah akan berantakan dan kucar-kacir. Apabila ini berlaku kedamaian diri jasmani atau badaniah yang diharapkan itu melalui solat zahir tidak akan tercapai. Itulah sebabnya Nabi s.a.w bersabda:

“Ibadat (solat) zahir itu hanya mampu di lakukan dengan hati yang khusyuk.”



Solat ialah doa si hamba kepada Tuhannya. Solat juga ialah pertemuan antara hamba dengan Tuhan. Tempat pertemuan itu di dalam hati. Jika hati itu tertutup, tidak endah dan tidak peduli ataupun mati, maka solatnya tidak memberi sebarang manfaat kepadanya. Solat yang tidak khusyuk itu tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada diri jasmani, kerana hati itu adalah zat bagi badan. Yang lain itu bergantung kepadanya.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Ada sekeping daging dalam badan manusia, apabila keadaannya baik, seluruh diri jadi baik. Dan apabila ia tidak baik, seluruh diri jadi tidak baik. Sedarlah, daging itu ialah hati.”

Solat zahir itu dilakukan pada waktu-waktu tertentu, lima kali sehari semalam. Tempat paling baik melakukan solat ialah di masjid, berjemaah dan menghadap kiblat. Dalam solat berjemaah, makmum mestilah menurut imam.

Solat batin tidak ada hujungnya dan tidak berwaktu-waktu. Solat ini tidak tertakluk kepada tempat dan masa. Solat ini sentiasa dari dunia hingga ke akhirat. Masjid solat ini terletak di hati. Jemaahnya ialah anggota-anggota batin atau daya-daya ruhaniah yang berzikir dan membaca Asma-ul-Lah (nama-nama Allah) dalam bahasa alam ruhaniah (alam batin). Imam dalam solat ini ialah kemahuan atau keinginan (niat) yang kuat. Kiblatnya ialah kehadirat Allah – Keesaan Allah – iaitu menurut al-Quran di mana sahaja memandang di situ wajah-Nya – Yang Maha Kekal dan Maha Indah. Pendeknya kiblatnya ialah Allah.

Solat demikian boleh dilakukan oleh hati yang ikhlas, hati yang tidak tidur dan tidak mati. Hati dan jiwa seumpama ini kekal dan sentiasa beribadat atau bersolat sama ada dalam tidur atau dalam jaga. Ibadat hati ini ialah seluruh hayat dan seluruh hayat ini adalah ibadat baginya. Di situ tidak ada lagi bacaan di mulut, tidak ada lagi berdiri, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan sebagainya.
Mursyid disini ialah Nabi Muhammad s.a.w. Ia berkata-kata dengan Allah:

“Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.” (al-Fatihah: 5).

Firman Allah ini ditafsirkan sebagai tanda ketinggian kesedaran Insan Kamil (Manusia Sempurna) iaitu mereka yang beberapa tingkat alam rasa dan pengalaman ruhaniah dan tenggelam dalam tauhid atau keesaan Allah dan bersatu dengan Allah.

Hati sebegini mendapat berkat dan rahmat dari Allah. Satu daripada kelebihan hati yang sempurna ini ialah sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w:



“Para Nabi dan kekasih-kekasih (para wali) Allah terus solat dalam kubur mereka sebagaimana mereka bersolat di rumah mereka di dunia ini.”



Dengan kata lain, hayat hati kekal terus bersolat kepada Allah. Setelah ibadat (solat) zahir dengan solat batin berpadu, berharmoni dan bersatu, maka sempurnalah solat seseorang itu dan ganjarannya amat besar. Hati atau ruh yang demikian membawa seseorang itu hampir dan masuk ke hadirat Ilahi. Hatinya bersatu dengan Allah dan badannya atau keduniaannya mencapai tingkat yang tertinggi mungkin. Dalam alam nyata ini, ia jadi manusia atau hamba Allah yang warak dan alim. Dalam alam batin atau keruhanian, ia jadi ahli makrifat yang telah sampai ke peringkat kesempurnaan mengenal Allah s.w.t.
Sekiranya ibadat zahir tidak bersatu dengan ibadat batin maka itu belum sempurna dan belum permai. Ganjarannya ialah hanya maju dalam peringkat dari segi pandangan manusia sahaja. Ianya tidak membawa seseorang itu hampir kepada Allah dan berpadu dengan-Nya.

PUASA DARI SUDUT PANDANGAN KERUHANIAN SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI

Puasa yang ditentukan oleh syariat ialah menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh mulai masuk waktu Subuh hingga masuk waktu Maghrib. Puasa dari segi ruhaniah pula ialah membersihkan semua pancaindera dan fikiran dari semua yang haram di samping menahan diri yang ditetapkan dalam puasa syariat itu.

Zahir dan batin hendaklah diharmonikan. Puasa dari segi ruhaniah atau kebatinan ini akan batal sekiranya tergelincir niat dan minda terhadap perkara-perkara yang haram walaupun sedikit. Puasa syariat atau puasa zahir tertakluk kepada masa atau waktu tetapi puasa batin sentiasa terus menerus sepanjang hayat di dunia dan di akhirat. Inilah puasa hakiki.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda:

“Ada di kalangan manusia yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.”
Orang berbuka apabila mereka makan tetapi ada pula yang terus menerus berpuasa walaupun mereka telah makan. Inilah orang yang membersihkan pancaindera dan fikiran mereka dari perkara-perkara yang maksiat dan dosa dan menahan tangan dan lidah daripada menyakiti hati orang.

Untuk mereka itu, Allah menjanjikan:

“Puasa itu ibadah yang dilakukan untuk-Ku. Maka Akulah yang memberi ganjaran kepadanya.”

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda:

“Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan. Pertama tatkala berbuka dan kedua, tatkala melihat.”

Orang syariat berkata bahawa kegembiraan yang pertama itu ialah tatkala berbuka puasa kerana dapat makan dan minum setelah berpuasa sepanjang hari dan maksud kegembiraan yang kedua itu ialah apabila melihat anak bulan Syawal setelah berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadhan dan akan menyambut hari raya pula. Bagi pengertian orang keruhanian dengan maksud batin puasa itu ialah bahawa kegembiraan berbuka puasa itu ialah ketika si mukmin itu memasuki syurga dan menikmati segala-gala yang diperoleh dalam syurga itu. Maksud kegembiraan tatkala melihat itu ialah apabila mereka melihat Allah dengan mata hati yang batin.

Satu lagi puasa yang lebih tinggi martabatnya dari dua jenis puasa yang tersebut di atas ialah puasa hakiki-
atau puasa yang sebenar. Puasa ini ialah menahan hati dari menyembah apa sahaja selain zat Allah. Ianya diamalkan dengan menahan mata hati itu dari melihat ghairullah (selain Allah), baik yang zahir mahu pun yang batin. Hati itu dibutakan dari ghairullah dan dicelikkan hanya kepada Allah dan cinta kepada-Nya sahaja. Allah menjadikan sesuatu untuk insan dan insan itu Allah jadikan untuk diri-Nya sendiri.

Dalam hadis Qudsi Allah berfirman:

“Insan itu rahsia-Ku dan Aku rahsianya.”

Rahsia itu ialah suatu nur (cahaya) dari nur Allah. Ianya ialah titik tengah (centre) hati yang dijadikan dari suatu yang seni dan ghaib. Ruh sahaja yang tahu semua rahsia itu. Ianya juga adalah perhubungan rahsia antara Khaliq dan makhluk. Rahsia itu tidak cinta dan tidak tertarik kepada apa jua kecuali Allah s.w.t.

Tidak ada apa dan siapa pun yang dipuja dan dipuji, yang dicintai dan yang dirindui kecuali Allah s.w.t. Tidak ada matlamat yang dituju kecuali Allah. Jika ada satu zarah pun cinta terhadap ghairullah masuk kedalam hati, maka batallah puasa hakiki ini. Jika telah batal, maka perlu diulang lagi berpuasa, menghidupkan niat dan harapan untuk kembali kepada cinta Allah, di dunia dan di akhirat kerana Allah berfirman:

“Puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang memberi ganjarannya.”

Wallahu a’alam.

No comments: