Saturday, May 10, 2008

Pembersihan

PEMBERSIHAN DIRI (BERSUCI) MENURUT PANDANGAN
SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI

Ada dua jenis pembersihan diri atau penyucian diri kita. PERTAMA: Pembersihan diri yang zahir dengan menggunakan air mutlak sebagaimana yang disuruh oleh syariat agama kita iaitu Islam. KEDUA: Pembersihan diri yang batin atau jiwa. Kita hendaklah sedar tentang adanya kekotoran jiwa atau kekotoran batin dalam diri kita. Kekotoran itu ialah dosa-dosa kita. Untuk membersihkannya ialah dengan bertaubat sebenar-benar taubat. Cara pembersihan diri dalaman (batin) kita itu ialah dengan cara memasuki atau menempuh suatu jalan keruhanian atau suluk atau tarikat yang dibimbing oleh guru keruhanian atau guru kesufian.

Menurut hukum syariat, wudhuk akan batal sekiranya kita buang air kecil atau buang air besar, menyentuh kemaluan, mabuk dan sebagainya. Sekiranya selepas persetubuhan atau selepas habis keluar haid dan nifas, diwajibkan pula mandi untuk membersihkan hadas besar dari badan kita. Inilah dia pembersihan badan zahir kita iaitu dengan berwudhuk dan juga dengan mandi.

Berkenaan wudhuk Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda:
“Setiap kali seseorang itu membaharui wudhuknya, Allah membaharui imannya, cahaya imannya bergilap semula dan akan bertambah terang.”

Dan lagi sabda Nabi s.a.w:

“Pembersihan (wudhuk dan mandi) berulang kali itu adalah cahaya atas cahaya.”

Kebersihan batin atau kebersihan jiwa boleh juga tercemar dan diri batin kita akan jadi kotor. Ia dikotori perangai yang jahat, tindakan yang membahayakan diri dan orang lain, tingkah-laku yang buruk, sikap negatif seperti sombong, takbur, dengki, iri hati, bongkak, mengadu domba antara manusia, fitnah, marah, hasad, syirik dan berbagai-bagai lagi.

Ruh atau jiwa juga akan kotor akibat memakan makanan haram, bibir yang mengeluarkan kata-kata lucah dan menyakitkan hati orang, telinga yang mendengar fitnah dan mengata-ngata orang, tangan yang melakukan pekerjaan yang tidak baik, kaki yang pergi ke tampat maksiat atau mengikuti orang-orang yang zalim, kemaluan yang melakukan zina dan sebagainya. Zina ini bukan sahaja dilakukan oleh kemaluan bahkan juga dilakukan oleh mata. Nabi s.a.w bersabda:

“Mata pun boleh melakukan zina.”
Apabila kebersihan ruhani tercemar dan wudhuk keruhanian terbatal, maka perlulah diperbaharui penyucian (wudhuk atau mandi) keruhanian itu dengan taubat iaitu dengan menyedari dosa itu, dengan menyesal yang sangat hingga mengeluarkan air mata (itulah air yang membasuh kotoran dari jiwanya) dengan berazam dan bertekad tidak melakukan kesalahan atau dosa itu lagi, dengan memohon ampun kepada Allah dan dengan berdoa kepada-Nya supaya dihindari dari dosa itu lagi.

Solat itu ialah menghadirkan diri di hadirat Ilahi. Bersuci dan berada dalam keadaan suci adalah suatu kewajipan sebelum solat. Orang yang bijak mengetahui bahawa kebersihan diri yang zahir sahaja tidak cukup. Allah melihat jauh kedalam hati (jiwa atau ruh) dengan hati itu perlu disucikan dan penyuciannya ialah dengan taubat. Hanya setelah suci, barulah solat diterima Allah s.w.t.

Firman Allah:

“Inilah apa yang dijanjikan kepadamu iaitu bagi setiap hamba yang selalu kembali bertaubat sebenarnya kepada Allah lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya).” (Qaf: 32).

Pembersihan badan dengan wudhuk dan mandi itu adalah menurut syariat dan hukum agama (Islam). Ianya tertakluk kepada masa atau waktu. Tidur membatalkan wudhuk. Pembersihan ini tertakluk kepada waktu atau masa, malam dan siang, dalam kehidupan di dunia nyata ini.

Tetapi pembersihan keruhanian, wudhuk diri yang batin atau ruhaniah tidak tertakluk dan tidak terhad oleh masa dan waktu. Penyucian ini untuk keseluruhan hayat – hidup di dunia hingga ke akhirat.

Wallahu A’alam.

No comments: