Saturday, May 10, 2008

Aurat , Uzlah

Aurat Dalam Uzlah - Syeikh Abdul Qadir Al Jailani

AURAD DALAM UZLAH OLEH SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI

Uzlah ertinya memencilkan diri atau menyendiri dari orang ramai dengan tujuan untuk melatih menghampiri diri dengan Allah. Tempat yang baik untuk beruzlah atau khalwat ialah dalam masjid atau kawasan berhampiran dengan masjid untuk memudahkan kita solat lima kali sehari. Solat berjemaah lima waktu sehari semalam itu adalah penting dan satu syarat dalam khalwat (beruzlah). Orang yang beruzlah itu tidak boleh meninggalkan sembahyang berjemaah lima waktu itu.

Uzlah atau khalwat di laksanakan sambil berpuasa jika mampu, melaksanakan amalan-amalan sunat. Setiap malam, orang yang berkhalwat atau beruzlah itu haruslah mendirikan solat tahajud. Solat sunat tahajud ini dilakukan pada malam hari selepas tidur sebentar. Solat sunat tahajud ini 12 rakaat dengan dilakukan setiap dua rakaat satu salam kerana Nabi s.a.w bersabda:

“Solat malam itu dilakukan dua rakaat, dua rakaat.”

Allah s.w.t memuji orang yang mendirikan solat tahajud. Firman-Nya:

“Dan pada sebahagian malam hari, bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (al-Isra’: 79).

Firman-Nya lagi:
“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap. Dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu bermacam-macam nikmat yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (as-Sajdah: 16, 17).

Selepas itu dirikan 3 rakaat solat witir. Dalam rakaat ketiga selepas iktidal (berdiri semula selepas rukuk), baca doa qunut sebelu sujud. Maka berakhirlah solat malam itu.

Pada siang hari, selepas terbit matahari, dirikan solat isyraq (solat cahaya) 2 rakaat dan 2 rakaat solat istiadza (solat memohon perlindungan dari kejahatan). Dalam rakaat pertama, selepas al-Fatihah, baca surah al-Falaq. Dalam rakaat kedua, selepas al-Fatihah, baca surah an-Nas. Kemudian dirikan dua rakaat solat istikharah (solat memohon petunjuk dan bimbingan dari Allah untuk membuat sesuatu keputusan yang betul). Dalam dua rakaat tersebut selepas baca Fatihah, bacalah ayat Kursi (al-Baqarah: 255). Selepas itu bacalah surah al-Ikhlas sebanyak tujuh (7) kali.

Kemudian dirikan solat Dhuha (solat memohon ketenteraman jiwa dan keheningan fikiran) sebanyak 6 rakaat, dengan membaca surah yang sesuai mengikut kemampuan. Selepas itu dirikan 2 rakaat solat Kaffara iaitu solat mengkifaratkan kotoran dan najis yang menyentuh seseorang tanpa dapat dielakkan atau tanpa disedari kerana bersentuh dengan kotoran dan najis walaupun tidak sengaja adalah satu dosa, ini boleh juga berlaku dalam kita beruzlah atau berkhalwat. Misalnya melalui kehendak jasmani kita. Nabi s.a.w bersabda:

“Hati-hatilah dengan kotoran (najis) walaupun tatkala anda membuang air kecil, satu titik pun jangan mengenai anda kerana itu satu tanda azab kubur.”

Dalam setiap rakaat, selepas membaca al-Fatihah, bacalah surah al-Kauthar 7 kali.

Satu lagi solat yang perlu dibuat semasa beruzlah ialah solat tasbih. Disebut solat tasbih kerana diucapkan tasbih sebanyak 300 kali. Nabi pernah bersabda kepada bapa saudaranya Saidina Abbas r.a. tentang solat tasbih ini demikian:
“Wahai pakcikku Abbas, dengarlah, saya akan beri suatu hadiah, saya akan mengemukakan kepada pakcik suatu kehidupan baru dan harapan baru. Saya akan beri suatu pemberian yang nilainya sama dengan sepuluh daripada kebajikan yang paling tinggi harganya. Jika dilakukan apa yang saya katakan ini, Allah akan mengampunkan dosamu, baik dosa yang telah lalu mahu pun dosa yang akan datang, dosa-dosa yang lama, dosa-dosa yang baru, dosa-dosa yang kecil, dosa-dosa besar, yang dilakukan secara disedari atau tidak disedari, secara rahsia atau secara terbuka. Hendaklah lakukan solat empat rakaat. Setiap rakaat selepas Fatihah, baca suatu surah al-Quran. Selepas itu sebelum rukuk baca 15 kali ‘Subhanallah il hamdu lillahi, La ilaha illallahu wal lohu akbar, Wa la haula wala quwata illa billahil ‘aliyil ‘azim’ ( Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung). Tatkala rukuk baca 10 kali lagi, kemudian berdiri selepas rukuk baca 10 kali. Kemudian sujud, baca 10 kali.”

“Duduk antara dua sujud, baca 10 kali. Sujud kali kedua, baca 10 kali lagi. Kemudian duduk dan baca 10 kali. Kemudian bangun berdiri untuk rakaat kedua. Begitulah seterusnya di baca pada rakaat kedua, ketiga dan keempat. Jika sanggup, buatlah solat tasbih ini setiap hari. Jika tidak sanggup, buat setiap Jumaat. Jika tidak sanggup juga, buat sebulan sekali. Jika tidak sanggup, buat setahun sekali. Jika itu pun tidak sanggup, buatlah sekali seumur hidup.”

Bilangan tasbih setiap rakaat adalah tujuh puluh lima (75) kali dan bilangan tasbih pada rakaat kedua adalah seratus lima puluh kali (150). Ini bererti dalam 4 rakaat itu, kita membaca tasbih tersebut sebanyak tida ratus kali (300) kali.

Sebagaimana Nabi s.a.w menyarankan kepada Saidina Abbas r.a. supaya bersolat tasbih, maka disarankan juga supaya orang yang berkhalwat atau beruzlah itu mendirikan juga solat tasbih ini.

Mereka yang bermazhab Hanafi mendirikan solat ini empat rakaat dengan satu salam. Mereka yang bermazhab Syafie pula melakukan empat rakaat dengan dua salam. Peraturan ini ialah bagi solat tasbih yang dibuat di siang hari. Sekiranya dilakukan malam hari, solat ini didirikan empat rakaat dengan dua salam oleh kedua-dua mazhab tersebut.
Di samping amal ibadat tersebut di atas, orang yang berkhalwat itu hendaklah sekurang-kurangnya membaca 200 ayat al-Quran setiap hari. Dan sekiranya mampu di laksanakan sambil berpuasa.

Zikir dibaca terus menerus sama ada membaca zikir yang berupa asma ul husna, dengan suara yang kuat atau senyap di dalam hati sahaja. Zikir hati bermula hanya apabila hati itu telah sedar dan telah hidup. Bahasa dalam zikir ini ialah kata-kata rahsia yang dalam dan tersembunyi.

Setiap orang hendaklah ingat akan Allah menurut keupayaan masing-masing. Dalam setiap peringkat keruhanian (dalam perjalanan menuju Allah), zikir itu berbeza-beza. Masing-masing ada nama, ada ciri-ciri dan ada jalannya. Hanya orang yang berada dalam sesuatu peringkat itu sahaja yang tahu zikir yang pada peringkat di mana ia berada.

Orang yang dalam uzlah juga membaca surah al-Ikhlas sebanyak 100 kali, selawat atas Nabi s.a.w 100 kali. Jika mampu tambahlah pekerjaan ibadat seperti membaca al-Quran, berwirid, berzikir dan sebagainya. Ia juga hendaklah membaca doa berikut:
“Aku memohon ampun kepada-Mu Ya Allah, Yang Maha Agung, Yang Maha Kekal, Yang Berdiri Sendiri, tiada Tuhan kecuali Engkau.

Aku mohon ampun terhadap dosa-dosaku yang telah lalu dan yang akan datang, kesalahanku yang tersembunyi dan yang nyata. Aku mohon ampun bagi dosa-dosaku yang telah aku lakukan. Engkaulah Tuhan yang lebih mengetahui tentang diriku, lebih dari aku mengetahui aku sendiri. Engkau yang mendahulukan dan Engkau juga yang mengakhirkan. Sesungguhnya Engkau berkuasa atas segala sesuatu.”

No comments: