Saturday, May 10, 2008

Rohul Qudus

RUH-UL-QUDUS MENURUT PANDANGAN SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI

Allah s.w.t. menciptakan atau menzahirkan Ruh-ul-Qudus (Ruh Suci) sebagai makhluk atau penzahiran yang paling sempurna dalam peringkat atau alam Ketuhanan Zat Allah Yang Maha Tinggi. Kemudian Allah s.w.t. berkehendakkan Ruh itu turun ke alam atau peringkat yang paling rendah iaitu Alam Ajsam atau Alam Fizikal. Tujuannya ialah untuk memberi pengalaman atau pelajaran kepada Ruh Suci itu supaya mencari jalan kembali ke tempat asalnya di hadirat Allah s.w.t. Dihantar-Nya Ruh Suci itu ke dalam diri para rasul, nabi, wali dan kekasih-kekasih-Nya.

Dalam perjalanan dari tingkat paling tinggi ke tingkat paling bawah Ruh Suci itu menempuh pelbagai alam atau tingkat. Pada mulanya ia turun ke peringkat Akal Semesta atau Peringkat Kesatuan (iaitu kesatuan Allah dengan hamba-Nya) ataupun dinamakan peringkat Nama dan Sifat Allah atau juga digelar peringkat Hakikat Muhammad.

Bersama dengan Ruh Suci itu telah disediakan dalam dirinya benih-benih keesaan (Tauhid). Dalam perjalanannya melalui alam tersebut, ia dipakaikan dengan pakaian Nur Allah (cahaya Allah) dan ia digelar Ruh Yang Tertinggi (kerana tinggi darjatnya).
Kemudian ia melalui pula peringkat atau alam malaikat, lalu Ruh Suci itu dinamakan ‘Ruh Bergerak’ atau ‘Ruh Berpindah’. Mimpi-mimpi yang benar adalah termasuk dalam alam ini.

Akhirnya ia masuk ke alam kebendaan atau alam kebadanan atau alam jisim atau alam fizikal. Ia diberi pakaian jasmaniah atau kebadanan yang terjadi dari darah, daging, tulang, urat, dan sebagainya. Maka Ruh itu sekarang digelar Ruh Insan atau ruh Manusia. Ruh Suci itu diberi pakaian kebendaan yang kasar ini supaya dunia ini selamat dari kehancuran kerana jika alam kebendaan ini bersentuh langsung dengan Ruh Suci itu, maka dunia ini akan menjadi abu.

Tujuan Ruh Suci ini dihantar ketempat paling rendah ini ialah supaya ia mencari jalan kembali ke asalnya iaitu ‘berpadu’ atau ‘bersatu’ dengan Allah s.w.t. semasa ia masih lagi dalam pakaian daging dan darah dan tulang ini. Dengan melalui hati yang ada dalam badan kasar itu, ia menanam benih rasa kesatuan dan keesaan dan sedaya upaya ia menyuburkan rasa ‘berpadu’ dengan Allah itu.

Dalam ‘bumi hati’ itu Ruh Suci menanam benih agama yang telah dibekalkan kepada-Nya oleh Allah s.w.t. dari Alam Maha Tinggi dan benih itu diharapkan menjadi pokok agama yang akan menghasilkan buah yang rasanya boleh membawa Ruh itu kembali naik peringkat demi peringkat hingga sampai ke hadirat Allah s.w.t.
Allah menciptakan badan-badan untuk dimasuki oleh ruh-ruh dan masing-masing ruh ada nama masing-masing. Allah susun ruang-ruang dalam dalam badan itu. Diletak-Nya ruh manusia antara daging dan darah. Diletak-Nya pula Ruh Suci dalam tengah (centre) hati, di mana disediakan oleh Allah satu ruang yang seni dan halus untuk menyimpan rahsia antara Allah dan hamba-hamba-Nya.

Ruh-ruh ini berada di pelbagai bahagian badan dengan tugas masing-masing dan seolah-olah membeli dan menjual pelbagai barangan dan mendatangkan pelbagai hasil. Perniagaan mereka itu mendatangkan keuntungan dalam bentuk rahmat dan berkat dari Allah s.w.t. Firman Allah:

“...dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi.”(Faathir: 29).

Sayugialah setiap orang mengetahui urusan atau perniagaan dalam alam diri masing-masing. Ia hendaklah faham bahawa ia tidak boleh mengubah atau menukar apa yang telah ditetapkan atau di takdirkan baginya. Barangsiapa yang ingin menukarkan ketetapan itu, Allah bertanya:

“Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur dan dilahirkan apa yang ada di dalam dada?”(al-Aadiyaat: 9,10).

Firman Allah lagi:
“Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya dengan terbuka.”(al-Isra’:13).

No comments: