Saturday, May 10, 2008

Ibadah Haji

IBADAH HAJI MENURUT PANDANGAN KERUHANIAN
SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI.

Menurut syariat Islam, naik haji itu ialah berkunjung ke Kaabah di Mekah. Perkara yang perlu dilakukan ialah memakai pakaian ihram yang melambangkan tanggal dan tinggalnya dunia dan keduniaan ini dari diri kita dan tiba di Mekah dalam keadaan suci, melakukan tawaf tujuh kali pusingan mengelilingi Kaabah yang melambangkan penyerahan yang bulat kepada Allah s.w.t, berlari tujuh kali antara Safa dan Marwa, singgah di Padang Arafah hingga terbenam matahari, bermalam di Muzdalifah, melakukan korban di Mina, bertawaf tujuh kali lagi mengelilingi Kaabah, minum di telaga zamzam, bersolat dua rakaat dekat tempat Nabi Ibrahim berdiri hampir dengan Kaabah.

Apabila semua itu telah dilakukan, maka sempurnalah rukun haji itu dan ganjaran pahala akan di anugerahkan oleh Allah s.w.t dan sekiranya ada kekurangan dan kecacatan, maka ganjaran tidak akan diperoleh.

Allah berfirman:
“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah, jika terkepung (terhalang oleh musuh atau kerana sakit), maka (sembelihlah) korban yang mudah didapat dan jangan kamu mencukur kepalamu sebelum korban sampai di tempat-

penyembelihannya. Jika ada di antaramu yang sakit atau ada gangguan di kepalamu (lalu ia bercukur), maka wajiblah atasnya berfidyah iaitu berpuasa atau bersedekah atau berkorban. Maka apabila kamu telah merasa aman, maka bagi siapa yang ingin mengerjakan umrah sebelum haji (dalam bulan haji) maka (wajiblah ia menyembelih) korban yang mudah didapat. Tetapi jika ia tidak menemukan (binatang korban atau tidak mampu), maka wajib berpuasa tiga hari dalam masa haji dan tujuh hari lagi bila kamu telah pulang kembali. Itulah sepuluh hari yang sempurna. Demikian itu kewajipan membayar fidyah bagi orang-orang yang keluarganya tidak berada di sekitar Masjidil Haram (orang-orang yang bukan penduduk kota Mekah). Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras siksa-Nya.” (Al-Baqarah: 196).

Apabila rukun-rukun itu telah sempurna dilakukan, maka hal-hal bersangkutan dengan keduniaan yang diharamkan semasa melakukan ibadah haji itu dihalalkan semula. Dalam keadaan biasa (normal) bolehlah seseorang itu bertawaf sekali lagi dan selepas itu kembalilah ke kehidupan harian seperti biasa. Ganjaran melakukan ibadat haji itu difirmankan oleh Allah demikian:
“...barangsiapa memasukinya (baitullah), menjadi amanlah ia, mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah iaitu bagi orang-orang yang sanggup mengadakan perjalanan kepadanya...” (Ali Imran).

Barangsiapa yang melakukan ibadat haji itu dengan sempurna akan selamat dari api neraka. Itulah ganjarannya.

Naik haji secara keruhanian dan kesufian pula memerlukan persedian dan bekalan yang cukup sebelum pergi naik haji itu. Perkara yang pertama yang perlu dilakukan ialah mendapatkan pembimbing atau penunjuk jalan atau guru atau syeikh yang dikasihi, dihormati, dipatuhi dan diteladani. Guru atau syeikh inilah menyediakan bekalan yang diperlukan dalam perjalanan naik haji kesufian atau keruhanian ini.

Kemudian si salik (orang yang dalam perjalanan menuju Allah iaitu si murid) mestilah menyedia dan mengelolakan hatinya. Hati itu perlu dibangunkan dari tidurnya (lupa) dengan membaca La ilaha illallah (tiada tuhan melainkan Allah) dan mengingat Allah dalam merenungkan makna dan maksud kalimat tersebut. Dengan selalu membaca kalimat itu, hati akan bangun terjaga dan akan hiduplah hati itu. Hati akan terus menerus mengingat Allah sehingga seluruh keruhanian kita jadi bersih dan suci dari ghairullah (selain Allah). Hanya Allah sahaja yang tinggal wujud dalam hati.

Setelah pembersihan diri dalaman (diri keruhanian) itu, si salik hendaklah membaca nama sifat-sifat Allah supaya bernyala cahaya keindahan Allah itu dalam hati. Dalam nur atau cahaya itulah si salik diharapkan dapat melihat Kaabah bagi zat yang rahsia itu. Allah menitahkan nabi-Nya Ibrahim dan Ismail supaya membuat pembersihan ini.
Firman Allah:

“Dan ingatlah ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan):Janganlah kamu memperserikatkan sesuatu pun dengan Aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang-orang yang tawaf dan orang-orang yang beribadat dan orang-orang yang rukuk dan sujud.” (Al-Hajj: 26).

Kaabah zahir di Mekah itu dijaga supaya dalam keadaan bersih dan suci untuk hamba-hamba Allah mengunjunginya dalam ibadat haji. Maka lebih lagilah seseorang itu mesti menjaga Kaabah batin dalam dirinya yang kepadanya Haq (nama Allah yang bererti Yang Sebenar atau Yang Hakiki) itu memandang.

Selepas persedian itu, si salik hendaklah membaluti atau menyelubungi dirinya dengan cahaya (nur) Ruhul Qudus menjadikan pertukaran dan perubahan bentuk kejasmaniannya kepada bentuk zat dalaman dirinya dan bertawaf keliling kaabah hati dan menyebut secara ruhaniah nama Allah yang kedua iaitu Allah, nama zat. Ia bergerak berkeliling seperti bulatan kerana jalan menuju zat itu bukan seperti satu garisan lurus tetapi adalah seperti bulatan. Hujungnya adalah asalnya. Semua perjalanan dan keadaan yang tersebut itu adalah dalam ruhaniah atau secara spiritual.
Kemudian si salik pergi ke Arafah hati, tempat berdoa secara batin iaitu tempat di mana seseorang itu berharap dapat mengetahui rahsia La ilaha illallahu, waddahu la syarikalahu’ (tiada Tuhan kecuali Allah, Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya). Di sana ia berdiri membaca nama Allah yang ketiga iaitu Hu – Dia dan di situ, si salik tiada keseorangan kerana ada bersama Dia.

Firman Allah:

“... Dia bersama kamu di mana saja kamu berada...” (Al-Hadiid: 4).

Selepas itu dibaca pula nama Allah yang keempat iaitu Haq – Yang Sebenar. Itulah nama bagi nur zat Allah.

Kemudian dibaca nama Allah yang kelima iaitu Hayy – Yang Hidup, dari-Nya semua hidup segala makhluk terbit, Dialah sumber kehidupan.

Kemudian disambungkan nama Allah Hayy itu dengan nama Allah yang keenam iaitu Qayyum – Dia Yang Berdiri Sendiri yang padanya semua maujud bergantung. Ini membawa si salik ke Muzdalifah bagi titik tengah hati.

Selepas itu, si salik dibawa ke Mina rahsia yang suci, zat di mana ia membaca nama Allah yang ketujuh iaitu Qahhar – Yang Maha Berkuasa dalam perkara-perkara tadbiran-Nya, Yang Maha Perkasa yang mengatasi seteru-seteru-Nya. Dengan kekuatan nama itu, diri dan keegoan dikorbankan. Tabir kekufuran ditiup terbang dan terbuka luaslah pintu kekosongan diri (terasa diri naif dan fana).

Berkenaan tabir yang memisahkan hamba dengan Allah itu.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
“Iman dan kufur berada di satu tempat jauh melampaui singgahsana Allah (Arasy), kedua-dua itu adalah tabir yang melindungi zat itu dari pandangan hamba-hamba-Nya. Satu hitam dan satu lagi putih.”

Kemudian ‘kepala’ Ruhul Qudus dicukur daripada semua sifat-sifat kebendaan.

Kamudian dibaca pula nama Allah yang kelapan iaitu Wahhab – Pemberi Segalanya, Pemberi Tanpa Had dan Tanpa Syarat. Dengan itu si salik memasuki kawasan maha suci bagi zat.

Setelah masuk ke kawasan maha suci tersebut, si salik membaca nama Allah yang kesembilan iaitu Fattah – Pembuka semua yang tertutup.

Si salik memasuki suatu tempat. Di situ dia duduk hampir dengan Allah, berkasih sayang dengan Allah dan jauh dari ghairullah (selain Allah). Di situ si salik membaca nama Allah yang kesepuluh iaitu Wahid – Yang Maha Tunggal. Di situ ia mula melihat manifestasi (penzahiran) sifat Allah yang bernama Samad – sumber yang pada-Nya segala makhluk bergantung dan berharap. Si salik mula melihat harta tersembunyi yang tidak habis-habis yang di pandang oleh si salik tanpa bentuk, tanpa rupa dan tiada sesuatu pun seumpamanya.

Selepas itu, mulalah tawaf terakhir. Tujuh kali pusing sambil membaca enam nama Allah yang terkemudian (yang tersebut dalam perenggan-perenggan yang lalu) dan ditambah dengan nama Allah yang kesebelas iaitu Ahad – Yang Maha Esa. Kemudian si salik di beri minum seperti yang tersebut dalam ayat 21 surah Al-Insan yang bermaksud:

Firman Allah:

“Tuhan memberikan kepada mereka minuman yang bersih.”
(al-Insan: 21).

Piala yang mengandungi minuman tersebut ialah nama Allah yang kedua belas iaitu Samad – Sumber yang pada-Nya semua bergantung, Yang Memuaskan segala keperluan dan kehendak, Tempat Kembali.

Setelah minum dari piala itu, si salik melihat semua hijab tersingkap dari muka ‘Yang Qadim’ itu. Si salik melihat Dia dengan nur yang terbit dari-Nya. Peringkat ini tidak ada perbandingan, tidak ada persamaan dengan apa jua, tidak ada bentuk dan tidak ada rupa. Peringkat ini tidak dapat hendak diceritakan, tidak dapat diperihalkan. Peringkat atau alam itu belum pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, tidak pernah terlintas dalam hati. Kalam Allah itu tidak bersuara dan tidak berhuruf. Tidak ada nikmat dirasa oleh hati yang melebihi nikmat melihat Allah dan mendengar Allah berkata-kata.

Selepas naik haji secara perjalanan ruhaniah tersebut, semua yang salah akan jadi betul. Kejahatan mereka diganti dengan kebajikan oleh Allah s.w.t.

Sekarang si salik terletak di tempat Tauhid yang baru dicapainya dan perasaan Tauhid ini akan berterusan padanya.

Firman Allah:

“Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal salih, maka bagi mereka, kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang.” (Al-Furqan: 70).
Maka si salik akan bebas dari semua lakuan yang datang dari dirinya sendiri dan ia bebas dari takut dan dukacita.

Firman Allah:

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada takut dan dukacita.” (Yunus: 62).

Akhirnya, tawaf selamat tinggal dilakukan dengan membaca semua nama Allah tersebut dahulu.

Kemudian si salik kembali ke tempat asalnya iaitu tanah suci di mana Allah mencipta manusia dalam bentuk yang paling baik dan paling indah. Setelah kembali, ia membaca nama Allah yang kedua belas iaitu Samad – Sumber, harta yang dari-Nya semua keperluan makhluk dapat dipuaskan. Itulah tempat atau peringkat bersama dengan Allah dan di situlah tempat tinggal si salik yang batin dan di situ pula tempat kembalinya.

Demikianlah yang dapat dijelaskan setakat yang terdaya oleh lidah dan terlintas oleh hati. Lebih dekat dari itu tidak mampu hendak diceritakan kerana tidak mampu hendak di perkatakannya kerana di luar bidang minda dan fikiran. Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Ada satu ilmu yang tersembunyi seperti harta yang terkubur, tidak ada siapa yang mengetahuinya dan tidak ada siapa pun yang dapat mencarinya kecuali mereka yang di anugerahi ilmu ketuhanan.”

Apabila mendengar adanya ilmu ini, mereka yang ikhlas tidak akan menafikannya.
Orang kebanyakan memungut ilmu dari permukaan iaitu ilmu yang tersurat tetapi orang arif dengan ilmu ketuhanan memungut ilmu dari dalam iaitu ilmu yang tersirat.

Hikmah kebijaksanaan si arif adalah rahsia Allah, tiada siapa yang tahu apa yang Dia tahu kecuali Dia sendiri jua.

Firman Allah:

“...sedang mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki, kursi (ilmu) Allah meliputi langit dan bumi dan Allah tiada merasa berat memelihara keduanya dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Al-Baqarah: 255).

Orang-orang yang berkongsi ilmu dengan Dia atau yang diberi ilmu dari sisi-Nya ialah para nabi dan para waliyullah yang berusaha sedaya upaya untuk masuk ke majlis-Nya.

Firman Allah:

“...sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi.” (Toha: 7).

Dan lagi firman Allah:

“Dialah Allah, tidak ada tuhan melainkan Dia, Dia mempunyai Asma-ul-husna (nama-nama yang baik).” (Toha: 8).

Wallahu A’alam.

No comments: