Saturday, May 10, 2008

Pentingnya Syariat

PENTINGNYA SYARIAT DAN ILMU DALAM KESUFIAN MENURUT SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI

Orang-orang sufi atau waliyullah dikalangan umat Nabi Muhammad s.a.w, yang bertugas mengajar orang-orang pilihan Allah, yang bakal jadi sufi dan waliyullah, mereka tetap mematuhi syariat dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Mereka menggalakkan pengikut-pengikutnya supaya berpegang teguh dengan syariat dan ajaran Nabi s.a.w. dan membuktikan kebaikan dan keindahan syariat dan prinsip Islam.

Tujuan guru itu ialah membantu murid-muridnya membersihkan hati masing-masing kerana hati yang bersih itulah akan menjadi wadah (bekas) untuk menerima hikmah atau ilham Ketuhanan. Guru atau syeikh sufi ini menurut jalan contoh yang di bawa oleh sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang digelar ‘orang-orang berpakaian bulu biri-biri’, yang telah meninggalkan segala hal-hal keduniaan segala dan berada hampir dengan Nabi s.a.w.

Mereka menerima ajaran dari Nabi. Kerana hampirnya para sahabat itu dengan Nabi s.a.w, mereka mencapai ke suatu peringkat yang membolehkan mereka berbicara tentang rahsia-rahsia Mikraj Nabi s.a.w. walaupun sebelum baginda menyingkapkan rahsia-rahsia itu kepada sahabatnya. Ibarat kehampiran guru bertaraf waliyullah ini dengan Nabi adalah seperti kehampiran Nabi dengan Allah. Mereka dianugerahkan oleh Allah suatu amanah menyimpan ilmu-ilmu dan rahsia-rahsia Ketuhanan. Mereka penanggung atau pemikul sebahagian dari tugas Kenabian dan batin mereka selamat di bawah pengawasan Nabi sendiri.

Bukan semua orang yang alim berada dalam keadaan yang sedemikian. Orang yang sampai keperingkat itu adalah lebih hampir kepada Nabi dari anak dan keluarga Nabi sendiri. Mereka ibarat anak Nabi dari segi keruhanian. Pertalian keruhanian ini lebih hampir dan ikrab lagi dari pertalian darah daging. Merekalah waris Nabi sebenarnya. Anak yang sebenar memiliki zat bapanya sendiri dan rahsia bapanya sendiri dalam rupa zahirnya dan dalam wujud batinnya. Nabi s.a.w. menyebut rahsia ini:

“...suatu ilmu yang khusus ibarat harta tersembunyi yang hanya boleh dicari oleh mereka yang kenal Zat (Allah). Apabila rahsia itu diketengahkan, tiada siapa pun yang punya kesedaran dan keikhlasan akan menafikannya.”

Ilmu itu diletak dalam diri Nabi Muhammad s.a.w. semasa Mikraj. Rahsia itu tersembunyi dalam dirinya disebalik 30,000 hijab (tabir). Baginda tidak membukakan rahsia itu kecuali kepada para sahabat yang terdekat dengan baginda. Dengan penyebaran dan berkat rahsia inilah maka Islam akan terus berdiri teguh dan berkuasa sehingga hari kiamat.

Ilmu pengetahuan keruhanian tentang perkara yang tersembunyi itulah yang dapat membawa seseorang kepada rahsia tersebut. Ilmu dan sains duniawi adalah ibarat tempurung yang mengandungi ilmu dalaman itu. Tetapi orang-orang yang mahir dalam pengetahuan dan sains duniawi itu hendaklah berharap suatu hari kelak dapat memperolehi isi yang dikandung oleh tempurung itu

Ada orang yang alim dengan ilmu hukum-hakam untuk kesejahteraan hidup manusia di dunia ini. Ada pula yang pakar dalam sesuatu ilmu dan menyimpan ilmu itu supaya tidak kehilangan. Ada yang tugasnya menyeru manusia kepada Allah dengan nasihat yang baik. Ada pula orang dari golongan umat Nabi Muhammad s.a.w. ini yang menurut jalannya Saidina Ali r.a. Adalah dikatakan bahawa Saidina Ali r.a. itu adalah pintu gedung ilmu dan melalui pintu itu masuk orang-orang yang dijemput hampir kepada Allah. Firman Allah:

“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu itu sangat mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl: 125).

Apa yang dikatakan dan dimaksudkan oleh orang-orang alim itu adalah sama pada hakikatnya. Perbezaan yang kelihatan pada zahirnya itu hanya perkara remeh-temeh atau cara expresi atau cara penyampaiannya sahaja. Sebenarnya ada tiga maksud atau makna, yang kelihatan pada zahirnya sebagai tiga jenis ilmu, tetapi pada hakikatnya ada satu jua. Tiada seorang manusia pun yang memiliki semua ilmu dan tidak pula mampu mengamalkan semua ilmu itu.

Bahagian pertama ayat, “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran” boleh bermaksud ilmu Ketuhanan, pengetahuan tentang zat- dan tentang asal dan awal semua perkara. Pemilik ilmu ini mestilah beramal dengan ilmu itu, seperti Nabi. Ilmu ini diberi kepada orang yang benar dan berani, seorang pahlawan keruhanian yang mempertahankan kedudukan dirinya dan berjuang memelihara ilmu ini. Orang seperti ini, sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

“Usaha yang bersemangat dari orang ini boleh menggoncangkan gunung.”

Yang dimaksudkan dengan ‘gunung’ itu ialah keberatan hati. Doa orang seperti ini makbul. Apabila ia ingin sesuatu maka ia terjadi. Apabila ia inginkan sesuatu itu lenyap, maka lenyaplah sesuatu itu. Firman Allah:

“Allah memberikan hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang diberi hikmah, sungguh telah diberi kebajikan yang banyak.”(al-Baqarah: 269).

Yang kedua ialah ilmu luaran (ilmu zahir) yang diibaratkan sebagai tempurung yang mengandungi dan melindungi ilmu dalaman (ilmu batin) atau hikmah. Orang yang memiliki ilmu luaran ini menyuruh manusia berbuat baik, buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Nabi Muhammad s.a.w. memuji mereka ini. Orang berilmu berdakwah dengan lemah lembut dan sopan santun. Orang yang jahil berdakwah dengan kasar dan marah.

Yang ketiga ialah ilmu tentang peraturan dan pentadbiran hal ehwal manusia dalam dunia ini. Ianyaibarat sabut yang melindungi dan mengandungi ilmu keagamaan. Ilmu keagamaan ini pula adalah tempurung yang melindungi hikmah Ketuhanan. Ilmu yang ketiga ini ialah untuk orang-orang yang memerintah, bagi keharmonian hidup manusia di dunia ini.

Ayat yang memberi maksud, ‘bantahlah mereka dengan cara yang baik’ dari ayat yang tersebut tadi menunjukkan tugas-tugas mereka yang memiliki ilmu ini. Mereka ini ialah penzahiran atau manifestasi sifat Allah yang bernama al-Qahhar – Yang Maha Gagah dan Menguasai. Tugas mereka ialah mengawasi peraturan hidup manusia di dunia supaya tersebar keadilan, kedamaian dan kesentosaan umum, menurut hukum-hukum Allah. Nabi s.a.w menasihatkan:

“Selalulah berada di majlis orang-orang berhikmah, taatlah kepada pemerintah yang adil, Allah Taala menghidupkan hati yang mati dengan hikmah sebagaimana Allah hidupkan bumi dengan tumbuh-tumbuhan dengan cara menurunkan hujan.”

Nabi s.a.w. juga bersabda:

“Hikmah adalah harta mukmin yang hilang. Ia memungutnya dimana sahaja ia menjumpainya.”
Bahkan perkataan-perkataan yang diucapkan oleh orang-orang awam pun turun dari Lauhul-Mahfuz dan perkataan-perkataan itu dikeluarkan menurut peringkat seseorang itu. Perkataan mereka yang telah sampai di peringkat hakikat datang secara langsung dari

peringkat yang tinggi iaitu peringkat yang berada di hadrat Ilahi. Tidak ada pengantara di sana.

Ketahuilah bahawa semua dan segalanya akan kembali ke asal masing-masing. Hati, diri, jiwa, dan minda perlu dibangun dan disedarkan, dihidupkan, agar dapat mencari jalan pulang ke asal. Dengarlah panggilan. Seseorang itu hendaklah mencari orang yang melaluinya panggilan itu datang iaitu guru sebenar atau guru mursyid. Ini adalah kewajipan setiap orang. Nabi s.a.w. pernah bersabda:

“Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam, lelaki dan perempuan.”

Ilmu kesufian adalah ilmu peringkat tinggi. Dinamakan juga ilmu hikmah ketuhanan. Itulah ilmu yang membimbing seseorang ke asalnya iaitu ke hakikat asalnya. Ilmu yang lain hanya patut dituntut setakat yang ia diperlukan. Namun begitu bagi dengan hamba-hamba-Nya yang meninggalkan kehormatan dan kemasyhuran dunia kerana itu menghalang kita dalam pengembaraan ruhaniah kita menuju-Nya.

Firman Allah:

“Katakanlah: “Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan...”(As-Syura: 23).

Wallahu A’alam.


*Pastikan anda mencari guru untuk mempelajari setiap ilmu.

No comments: